Pages

Sunday, July 17, 2011

Nisfu Syaaban 2011 - Istimewanya Bulan Syaaban


Salam sayang anak-anak dan teman-teman.......
Salam Nisfu Syaaban...Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.” (al-Bukhari) 
Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke merata tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan menjelangnya bulan Ramadhan.
Ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban: Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban dan 3 hari pada pertengahan Syaaban dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit."
(Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat. Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya.
Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam
yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Teman-teman dan anak-anak..... marilah kita rebut peluang dan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban ini dengan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.
Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam yang dikabulkan doa. Memetik pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
Sumber- JAKIM/Berita Harian
Akhirnya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci.Alhamdulillah......Selamat berbuka puasa......


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails