Pages

Wednesday, March 24, 2010

MAC 2010 ~ KEJOHANAN OLAHRAGA SK SRI SKUDAI


Rumah Buana ~ Johan Khemah Tercantik 2010

Rumah Purnama

Rumah Suria

Rumah Segara

Guru Besar , En Jemsari B A Mukti & YDP Prof Dr Hj Abdul Hakim B Mohammed turut memberi sokongan

Perbarisan Rumah Segara - Johan kategori Perbarisan Antara Rumah Sukan

Perbarisan Rumah Buana

Perbarisan Rumah Suria

Perbarisan Rumah Purnama



GPK KOKURIKULUM ~ PN SAADIAH BT AHMAD
SETIAUSAHA SUKAN SK SRI SKUDAI ~ EN ABDUL HALIM BIN AWANG

SK Sri Skudai telah mengadakan Kejohanan Olahraga baru-baru ini. Semua guru rumah sukan bersungguh-sungguh melatih murid-murid dalam acara yang dipertandingkan. Ketua rumah sukan Purnama, Segara, Buana & Suria telah mengagihkan tugasan dan merancang strategi bagi memastikan rumah sukan masing-masing menang.

Sukantara telah dimulakan awal bagi acara padang iaitu lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Semasa ini semua murid mendapat peluang menyumbang mata kepada rumah masing-masing. Sorakan dan teriakan guru-guru dan murid-murid memberi semangat kepada ahli rumah yang sedang bertanding.
Seronok saya melihat gelagat guru-guru yang begitu obses dengan warna rumah masing-masing. Pendek kata kalau guru itu rumah merah hanya merah yang menjadi pilihan hati. Kelompok yang biasanya saya lihat bersama akan berpisah sementara semasa sukan ini kerana perbezaan warna.
Semangat kesukanan guru -guru dan murid-murid SK Sri Skudai sangat tinggi. Apa yang jelas, murid-murid yang agak lemah dalam pelajaran akan menjadi jaguh di padang. Pada masa ini guru-guru akan memberi perhatian dan layanan yang istimewa buat mereka kerana merekalah yang akan berlari, melompat dan sebagainya. Tuhan itu maha adil. Kalau dalam kelas mereka dimarahi kerana masalah akademik tetapi di padang mereka akan dipuji kerana berjaya mendapatkan pingat untuk rumah masing-masing.

Pada hari Kejohanan Olahraga, segala rahsia yang disimpan kemas bagi acara perbarisan dan hiasan khemah terbuka. Kalau sebelumnya semua guru rumah mempunyai markas masing-masing untuk membuat persiapan dan strategi bagi menjayakan misi. Pada hari sukan, dapatlah kita saksikan bagaimana hebatnya Purnama, Segara, Buana & Suria.
Tahun ini, sambuatan daripada ibubapa agak luar biasa. Mungkin mereka datang untuk melihat anak-anak kecil mereka dari Pra Sekolah dan tahun 1 yang akan menyertai acara balapan. Rumah Segara telah menjadi johan bagi keseluruhan. Hooray! Tahniah!...Bagi rumah sukan yang lain...kita sebenarnya adalah juara bersama. Mungkin rezeki akan berpihak kepada rumah sukan yang lain pula pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada semua warga SKSS kerana berjaya merealisasikan acara sukan tahunan dengan jayanya. Kepada GPK Kokurikulum & Setiausaha Sukan....majulah sukan untuk SK Sri Skudai.

MAC 2010 ~ MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG & MESYUARAT AGUNG PIBG

Majlis Anugerah Cemerlang & Mesyuarat Agung PIBG KE 26

SK Sri Skudai telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang untuk murid-murid yang berjaya dalam UPSR 2009 dan murid-murid yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun 2009.
Mesyuarat Agung PIBG juga diadakan serentak bagi membahaskan usul dan berbincang masalah dan idea untuk kecemerlangan sekolah. Majlis ini dirasmikan oleh YB Datuk Hj Abd Aziz B Sapian, Adun Kawasan Nusa Jaya.
Sebelum berlangsungnya majlis, semua guru SK Sri Skudai telah menjalankan tugas masing-masing bagi memastikan majlis sempurna.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan Guru Besar. Ucapan dan perasmian majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Abd Aziz B Sapian. Murid-murid yang berjaya mendapat tempat pertama hingga ketiga dan juga terbaik dalam mata pelajaran bersilih ganti naik ke pentas untuk menerima hadiah. Jelas tergambar kegembiraan dan kebanggaan di wajah ibu bapa masing-masing. Kilauan flash semasa anak-anak mereka menerima anugerah membuat murid tersebut merasakan kejayaan mereka begitu dihargai. Bagi murid-murid yang mendapat 5A, anugerah untuk mereka juga tidak dilupakan. Walaupun bersekolah jauh mereka masih datang untuk menerima hadiah masing-masing. Ada juga murid-murid tersebut tidak dapat hadir kerana bersekolah di asrama penuh, namun mereka diwakili oleh ibubapa masing-masing.
Seterusnya, Mesyuarat Agung PIBG ke 26 dimulakan dengan kata-kata aluan oleh NYD PIBG,Prof Madya Dr Yahya Bin Md Sam yang mewakili YDP PIBG iaitu Prof.Dr.Sr. Abdul Hakim B Mohammed. Setiausaha PIBG , Pn Rohana Bt Mustafa telah membentangkan laporan aktiviti tahunan PIBG. Pn Wan Salwani Bin Wan Hussin selaku Bendahari PIBG pula membentangkan laporan kewangan PIBG.
Sambutan daripada ibu bapa amat memberangsangkan dan sewaktu sesi membahaskan usul, ramai ibubapa yang turut sama memberi idea. majlis bersurai selepas jamuan ringan untuk ibubapa.

Sunday, March 14, 2010

MAC 2010 ~ PROGRAM MOTIVASI MURID PEMULIHAN








GURU PENDIDIKAN PEMULIHAN : PN FAESZAH BT OMAR
Salam,
Program Motivasi bagi murid-murid pemulihan diadakan dengan kerjasama guru pendidikan pemulihan bersama dengan Unit Bimbingan & Kaunseling.Berbagai aktiviti telah diadakan bagi meningkatkan motivasi kendiri murid-murid ini.Saya sebagai guru kaunseling telah memulakan program dengan menayangkan beberapa klip video untuk merangsang minda dan menarik minat murid-murid ini.Beberapa panduan untuk tidak berasa rendah diri dan sentiasa berusaha telah saya sampaikan kepada mereka. Saya selalu mengingatkan mereka bahawa mereka bukanlah bodoh tetapi lambat. Biarlah lambat tetapi jangan malas. Guru Pendidikan Pemulihan juga menyediakan beberapa aktiviti seperti explorace yang melibatkan beberapa stesyen. Di setiap stesyen diadakan aktiviti menguji minda, psikomotor dan keyakinan diri.
Bila berdepan dengan mereka dan meneroka latar belakang, saya berasa sangat insaf. Mereka tidak diminta lahir tidak pandai tetapi mungkin faktor lain yang menyebabkan mereka dibelenggu di dalam situasi begitu.Kepada rakan guru, bersabarlah dengan murid-murid yang lemah tetapi mempunyai keinginan yang tinggi untuk belajar. Kita akan menikmati kepuasan yang luar biasa apabila kita berjaya membuat murid pemulihan ini naik kelas pada tahun hadapan.Untuk murid yang lemah tetapi malas....mungkin rakan2 boleh menggunakan pendekatan lain..

Wednesday, March 3, 2010

FEBRUARI 2010~ SAMBUTAN MINGGU ANTI DADAH

GURU Pendidikan Pencegahan Dadah : EN ARFANIZAM BIN ARIS
TEMA: 1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH

Salam,
15 Februari - 25 Februari 2010~ Sambutan Minggu Anti Dadah telah diadakan pada minggu ini. Guru PPDa dan AJK telah mengadakan beberapa aktiviti bagi memberi info kepada murid tentang bahayanya dadah. Pada hari Isnin 22 Februari 2010, Guru PPDa memberi taklimat ringkas mengenai Sambutan Minggu Anti Dadah dan pengisiannya. Seterusnya ialah lafaz ikrar anti dadah yang dibaca oleh semua murid-murid. Pertandingan mewarna dan melukis poster diadakan semasa mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kuiz terbuka juga diadakan setiap kali perhimpunan pagi sepanjang minggu ini. Murid-murid boleh mendapatkan maklumat untuk jawapan kuiz di Sudut PPDa.

Tanda-tanda murid terlibat dengan dadah:-
1. Ghairah /riang berlebihan
2. Tindakan terlalu gopoh gapah
3. Banyak bercakap dengan tajuk yang tidak menentu
4. Suka mulakan pergaduhan tanpa sebab
5. sering pening
6. mata merah, anak mata mengecil, mata kuyu
7. cepat marah
8. selsema / berhingus
9. muntah-muntah
10.mengantuk
11.diri tidak terurus

Oleh itu, sebagai guru, kita harus prihatin tanda-tanda yang ada pada murid yang menunjukkan dia terlibat dengan najis dadah.

"SEKOLAH BEBAS DADAH"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
There was an error in this gadget