Pages

Tuesday, September 21, 2010

RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI


Salam Syawal teman-teman dan anak-anak semua.....saya pasti semua masih dalam mood hari raya. Belum terlambat saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin sempena hari yang mulia ini.







Bulan Ramadan berlalu meninggalkan kita. Bulan Syawal yang dinanti berkunjung tiba. Di bulan Syawal, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, menandakan kita semua menyambut hari kemenangan . Kemenangan bagi semua yang taat serta berjaya dalam mengekang nafsu semasa menjalani ibadah puasa iaitu melaksanakan Rukun Islam yang ketiga.
Bila anak bulan Syawal kelihatan, pastinya hati kita merasa gembira. Tersenyum riang, bersama keluarga tercinta, girang bercerita semasa merebus ketupat, membakar lemang, memasak rendang, ziarah menziarahi saudara jauh dan dekat dan memenuhi undangan teman-teman ke rumah terbuka.
Rumah terbuka, telah menjadi satu ‘trend’ di zaman alaf baru ini. Hendak berkunjung ke rumah teman-teman tanpa undangan bimbang mereka tiada di rumah. Biasanya pada seminggu awal Syawal, masyarakat kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing. Oleh kerana itu kita tidak sempat menziarahi jiran dan kawan-kawan. Selepas selesai behari raya di kampung dan membawa pulang beberapa jenis juadah dari kampung biasanya akan adalah majlis rumah terbuka khusus untuk jiran dan kawan-kawan sekerja. Seperti kata-kata yang sering kita dengar kalau puasa 30 hari jadi Hari Raya juga dirayakan selama 30 hari di bulan Syawal ini. Saya juga mendapat banyak undangan ke majlis rumah terbuka . Saya akan berusaha untuk memenuhi semua undangan tersebut untuk menjaga hati teman-teman dan menghormati undangan tersebut. Berkunjung ke rumah terbuka adalah sesuatu yang baik kerana ia dapat mengeratkan silaturahim. Sebagai tuan rumah, kita akan lebih bersedia menyediakan juadah buat tetamu yang datang. Sebagai tetamu kita dapat menziarahi teman-teman dan bermaaf-maafan.
Pada tahun ini, saya tidak pasti lagi hendak mengadakan rumah terbuka atau tidak. Jemputlah berkunjung walaupun hati saya kurang enak bila hanya menghidangkan kuih kering kepada tetamu.Kekangan masa dengan tugasan yang banyak memerlukan saya merancang dengan lebih teliti. Namun buat teman-teman, insyaallah sekiranya tiada halangan akan adalah menu pantai timur seperti laksam,laksa lemak, nasi dagang dan tapai buat santapan kalian.
Saya pasti teman-teman juga sedang merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka atau mendapat banyak undangan ke rumah terbuka ? Sekiranya sedang merancang dan akan mengadakan majlis rumah terbuka ia adalah sesuatu yang baik, tetapi kita hendaklah sentiasa menjaga adab ketika berhadapan dengan orang ramai.

SEKADAR INGIN BERKONGSI

ADAB SEMASA BERKUNJUNG KE RUMAH TERBUKA


1.Hormati tuan rumah
Apabila sampai ke majlis rumah terbuka, hulurkan tangan kepada tuan rumah untuk bersalam, bersalam juga dengan tetamu yang berhampiran dengan kita ketika itu. Ikut arahan tuan rumah sekiranya tempat duduk telah disediakan andainya bebas duduk di mana sahaja,anda cuba cari rakan untuk berbual kosong sambil makan. Jaga suara ketika berbual jangan sampai mengganggu orang dengan suara kita yang kuat ketika berbual, ia tidak beradab dan kurang sopan. Bila bergurau senda biarlah berpada jangan sampai menyakiti hati orang lain. Jangan ketawa terlalu kuat dan jangan mencela apa yang ada di rumah terbuka yang kita kunjungi.

2.Sederhana dalam berpakaian dan berhias
Sudah menjadi kebiasaan di hari raya , semua orang memakai baju atau pakaian baru. Tidak terkecuali saya dan teman-teman, tetapi janganlah sampai menunjuk-nunjuk atau berasa riak iaitu dengan menunjuk-nunjuk apa yang baru, mahal atau murah, pakaian atau barang perhiasan yang dipakai. Seharusnya remaja terutama remaja wanita, pilihlah pakaian yang sesuai iaitu yang menutup aurat untuk menghormati majlis sempena Hari Raya serta juga untuk menjaga syariat .
Sekiranya perasaan megah terlalu menebal dalam diri maka rasanya ada yang tidak kena dengan puasa Ramadhan yang baru berlalu, sepatutnya puasa yang telah dilalui itu dapat melahirkan sifat-sifat mulia dalam diri contohnya sifat merendah diri, penyabar , pemurah, pemaaf dan menjauhi sifat dengki dan bermegah-megah. Tujuan rumah terbuka adalah untuk mengeratkan silatulrahim antara umat Islam, bersalaman serta bermaaf-maafan. Bukan mudah untuk menundukkan keegoan yang ada dalam diri setiap manusia, tapi cubalah lakukan kamu akan rasa ‘bebas’ dan bahagia. Allah tidak menyukai manusia yang sombong.
Firman Allah: “ Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata ( yang mengundang keselamatan)” (al-Furqan:63)
Sabda Rasulullah SAW: “ Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu lalu saling berjabat tangan , kecuali keduanya akan diampuni sebelum keduanya berpisah.” (HR at.Tirmizi dan Ibnu Majah)

3.Adab makan
Makanlah dengan sopan, tidak berebut-rebut atau gelojoh sehingga pinggan , cawan dan sudu berlaga-laga. Elakkan menyerbu makanan terlebih dahulu, walaupun ketika kita memang lapar . Tunggu tuan rumah pelawa, kemudian ambillah makanan dengan sopan dan jangan mengambil sehingga penuh pinggan. Memang makanan banyak dan menunya enak, kalau tidak habis makanan yang diambil bukankah ianya membazir dan mencalarkan imej kita. Sikap ini menunjukkan kita gelojoh, ambil sedikit-sedikit dengan cara ini kamu dapat merasa semua makanan dan ia kelihatan lebih sopan daripada mengambil makanan dengan banyak sekali gus.

4.Jaga pandangan
Jaga mata kita semasa berkunjung ke rumah terbuka. Janganlah kita asyik melihat ke sana kemari. Merenung tetamu yang hadir, melihat pakaian mereka dan yang paling tidak baik apabila kita mula mengata dan mengumpat individu yang hadir. Pandang apa yang perlu sahaja.

5.Jangan duduk terlalu lama.
Apabila berkunjung ke rumah terbuka janganlah duduk terlalu lama, lebih-lebih lagi sekiranya ramai lagi tetamu yang baru datang dan tempat duduk terhad. Hadkan masa tertentu jangan sampai terlajak masa iaitu hingga seharian kita di rumah tersebut. Sikap ini akan mengundang rasa tidak selesa tetamu lain dan tuan rumah juga berasa serba salah kerana tuan rumah juga mungkin sibuk untuk melayan tetamu lain.
Semasa hendak balik, mintalah izin dari tuan rumah serta ucapkan terima kasih atas layanan dan jemputannya serta undanglah dia untuk datang ke rumah anda pula. Sikap ini sebagai tanda menghormati tuan rumah dan di bulan Syawal ini ialah bulan kita bermaaf-maafan dan menjalinkan persaudaraan.Tanamkan sikap ikhlas semasa mengadakan rumah terbuka dan amalan ini akan diberi pahala oleh Allah. Insyaallah anda akan disenangi oleh jiran dan teman dan diredhai Allah.
Salam Syawal....
Imanmysara

Sunday, September 19, 2010

SEHARI SEBELUM UPSR

Salam sayang teman-teman yang anak-anaknya akan menduduki peperiksaan dan murid-murid yang akan berhadapan dengan minggu peperiksaan...Semoga yakin diri dan dapat menjawab semua soalan dalam keadaan bersedia dan tenang.

ESOK UPSR.....SUDAHKAH PENUH ILMU DI DADA ?

best luck Pictures, Images and Photos
SLOT MOTIVASI BERSAMA CALON-CALON UPSR










a) UPSR tinggal satu hari sahaja lagi..... TAKUT tak?
b) Murid-murid yang memburu kejayaan giat mengulangkaji.
c) Aktiviti harian seperti menonton TV, bermain, berkhayal dan berbual-bual kosong hendaklah dikurangkan.
d) Oleh kerana UPSR sekali seumur hidup, murid-murid yang inginkan kejayaan akan menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan.
e) Namun begitu sampai saat ini, saya percaya ada calon-calon peperiksaan belum bersedia sepenuhnya.

KAEDAH MENGULANGKAJI DISAAT AKHIR
a) Sebaik-baiknya buatlah catatan ringkas sendiri.
b)Catat pada kad atau buku bersaiz kecil yang senang dibawa ke mana-mana.
c)INGAT! bila kita mencatat ia boleh membantu daya ingatan jangka panjang.
d)Waktu mengulangkaji/ semakan akhir paling baik ialah waktu tenang iaitu pada waktu malam atau sebelum Subuh.

PADA MALAM SEBELUM HARI PEPERIKSAAN
a) Pastikan semua peralatan peperiksaan / alat tulis seperti pensel sekurang-kurangnya 3 batang , pemadam, pembaris dalam keadaan yang baik dan jika tidak membebankan eloklah pakai yang baru.
b) Masuk tidur awal
c) Lakukan solat sunat hajat bagi yang beragama Islam sebelum masuk tidur.

PADA PAGI HARI PEPERIKSAAN
a)Bangun pagi, selepas solat Subuh, berdoalah kepada Allah Taala agar dimudahkan segala urusan.
b) Sarapan dengan makanan yang tidak akan memudaratkan perut.
c) Pastikan semua peralatan peperiksaan dibawa.
d) Datang awal ke sekolah.

MOHON DOA IBU
a)Sebelum bertolak ke sekolah, minta izin dan doa restu daripada ibu bapa terlebih dahulu.
b) Minta ampun daripada mereka.
c) Minta mereka mendoakan kejayaan kamu sepanjang tempoh peperiksaan. Doa yang tidak putus-putus dan berterusan.
d) Doa seorang ibu kepada anaknya mudah dimakbulkan oleh Allah SWT
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah"Doa ibu bapa untuk anak-anaknya menembusi hijab"

PANDUAN UNTUK TERUS CERGAS SEMASA MENGHADAPI PEPERIKSAAN
a) Tarik nafas - Duduk secara tegak dan tarik nafas dalam-dalam supaya banyak oksigen dapat masuk ke sistem kitaran tubuh untuk menghasilkan tenaga.
b) Tidur yang cukup - Tidur sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam sehari.
c) Pilih suasana yang selesa dan tenang- belajar di tempat yang mempunyai cahaya yang cukup dan berehat sebentar di luar untuk mendapat cahaya semula jadi.

TERTEKAN ??? APA PERLU KAMU LAKUKAN...????
a) Relaks - Buat aktiviti regangan yang ringan seperti mengangkat tangan melebihi paras kepala atau memusingkan kepala ke kiri dan kanan.
b) Mandi - Gunakan air suam ketika mandi untuk menghilangkan keletihan selepas menghadapi peperiksaan.
c) Berbual-bual dengan rakan karib anda sekiranya ada perkara yang tersimpan dihati atau ada perkara yang mengganggu fikian.
d) Berjalan-jalan di halaman rumah sebentar sambil melihat tumbuh-tumbuhan hijau.
e) Sentiasa bersikap positif dan mengeluarkan kata-kata positif terhadap diri sendiri.
f) Ketawa- ambil masa setengah jam untuk menonton cerita komedi.
g) Menyanyi- Menyanyi akan membantu anda bernafas lebih dalam.
h) Solat dan membaca Quran.


DOA-DOA AMALAN
Bacaan ketika menghadapi peperiksaan
Waktu keluar dari rumah / dalam dewan peperiksaan
a) Membaca ayat Kursi dengan tenang serta niatkan untuk memperolehi kejayaan cemerlang dalam UPSR.
b) Langkah dengan kaki kanan dahulu dan ucaplah Bismillah.
c) Menuju dewan peperiksaan dan langkah dengan kaki kanan sebelum masuk dewan .
d) Semasa mula menjalani peperiksaan baca Al-Fatihah dengan memohon kepada Allah agar dibuka segala ingatan dan fikiran dan diterangkan hati.
e) Baca ayat Kursi dengan niat meminta pada Allah agar dihilangkan gementar dihati.
f) Berdoalah dan mohon bantuan Allah sekiranya terlupa dan berhadapan dengan soalan susah.


SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA CALON-CALON UPSR KHASNYA MURID-MURID TAHUN 6 SK SRI SKUDAI DAN SEMUA CALON-CALON UPSR WALAU DIMANA KAMU BERADA....

"ANTARA SIFAT YANG DIMILIKI OLEH ORANG YANG BERJAYA IALAH MEREKA SENTIASA BERSIKAP POSITIF"

Imanmysara

Tuesday, September 7, 2010

SALAM AIDIL FITRI BUAT SEMUA

Dikesempatan ini kami seluruh warga SK Sri Skudai ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada terlanjur perbuatan dan terlajak kata.Maaf zahir & batin.
Buat teman-teman yang masih sibuk membuat persiapan akhir...semoga apa yang diinginkan sudah ditemui. Belanja dengan berhemah dan ingatlah pada yang kurang berkemampuan. Keinginan untuk melihat anak-anak cantik berseri-seri adalah lumrah bagi semua ibu bapa tetapi sebagai pengguna yang bijak, kita masih boleh kelihatan cantik jika kita bijak menyuaipadan pakaian. Membeli barangan berjenama dari hujung rambut hingga hujung kaki belum tentu menjanjikan kita yang paling menyerlah di pagi raya nanti.

SLOT BERSALAM-SALAMAN ANTARA GURU & MURID
SEMPENA AIDIL FITRI


Bagi teman-teman yang sudah menempah kuih/biskut raya/ kerepek untuk raya, sudah tentu boleh menarik nafas lega. Untuk teman-teman yang sedang mengadun, membakar biskut sekarang, kalian juga boleh menarik nafas lega kerana hasil tangan sendiri akan dinikmati oleh saudara mara dan sahabat handai di hari raya nanti.
Berhati-hati di jalan raya, pesanan buat semua teman termasuk saya sendiri yang akan bertolak balik ke timur...ingat orang tersayang. Lebuh raya sudah pasti akan sesak dan kalian yang memandu harus mendapatkan rehat yang cukup...Periksa kondisi kereta, barang- barang seperti pakaian raya, kuih muih, hadiah buat ibu & bapa, bekalan makanan untuk anak-anak kecil, buku-buku bagi anak -anak yang akan menduduki peperiksaan. dan sebagainya telah siap disusun kemas di dalam kereta, kunci rumah dengan yakin , periksa semua suis
dan meninggalkan pesan kepada jiran tetangga.
Bagi anak-anak yang terpaksa mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan akan menjelang, selamat maju jaya...jangan merungut, jangan bersedih kerana dalam setiap kesusahan ada kesenangan yang tidak kita jangka.
Akhir kata Selamat Hari Raya Aidil Fitri walau dimana jua berada....sucikan hati & ikhlaskan diri di hari lebaran ini...

Imanmysara

Thursday, September 2, 2010

KEMAHIRAN MENCATAT NOTA

Salam sayang buat teman-teman, ibubapa yang anaknya akan menduduki peperiksaan dan anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan. Teruskan usaha disaat-saat akhir kerana semua data-data yang dikumpul dapat dijadikan ingatan jangka pendek semasa peperiksaan nanti.Semoga entri ini dapat membantu kalian.

BAGAIMANA MENCATAT NOTA
1. Beri perhatian kepada maklumat yang didengar, dibaca atau dilihat.
2.Maklumat tersebut haruslah dipilih atau ditafsir sebelum dicatat.
3.Hanya fakta baru sahaja yang dicatat kerana ini adalah mengikut isi pelajaran terkini.
4.Baca dan susun semula catatan.
5.Catatan nota boleh dibuat dalam bentuk grafik seperti -----------> atau bentuk bulatan dan sebagainya.





science notes klowdz Pictures, Images and Photos


CIRI-CIRI NOTA YANG BAIK
1. Mengandungi rangka kasar sahaja.
2. Terdiri daripada idea utama.
3.Dicatat dalam buku kecil atau kertas berwarna.
4.Catatan terang, senang dibaca dan mudah difahami.
5. Ada kata kunci dan simbol seperti: < # dan singkatan perkataan seperti yg (yang). 6.Tanda bulatan dan garisan pada isi penting.


ELEMEN-ELEMEN PENTING DALAM NOTA
1.TEKS - Teks yang ringkas dan mudah difahami.
2.GRAFIK- Seperti anak panah, segiempat dan bulatan.
3. GAMBAR- Gambar yang menggambarkan isi teks secara menyeluruh.


TEKNIK-TEKNIK NOTA
1. PETA MINDA

Langkah-langkah membuat peta minda:-
a)Tajuk peta
b)tulis idea utama imej di tengah muka surat.
c)Bulatkan idea utama
d) Gunakan satu garisan dahan untuk satu tajuk / idea kecil.


2.NOTA GAMBARAJAH
Nota gambarjah dapat memberikan gambaran
menyeluruh tentang topik yang dipelajari.
Kaedah ini dapat membantu mengembalikan ingatan kepada topik yang sedang diulangkaji.
Gambarajah atau carta penting boleh disalin daripada buku teks, buku rujukan dan nota.
Guna pen berwarna agar nota gambarajah nampak lebih menarik.

3.NEUMONIK /AKRONIM
Subjek - Sains

My ----------------- Mercury
Very---------------- Venus
Excellent----------- Earth
Mother------------- Mars
Just-----------------Jupiter
Served-------------- Saturn
Us------------------ Uranus
Nine--------------- Neptune
Pizza-------------- Pluto

4.CARTA ALIRAN
Menggunakan anak panah sebagai menunjukkan aliran antara satu isi dengan satu isi. Contohnya pengkelasan haiwan seperti mamalia, amfibia, reptilia, ikan dan burung. Aliran tentang ciri-ciri dan jenis haiwan.

Jangan buang masa, gunakan sisa masa yang ada sebelum peperiksaan dengan sebijak-bijaknya. Selamat maju jaya dan sesungguhnya segala usaha akan menghasilkan kejayaan.

Imanmysara


Wednesday, September 1, 2010

MANA NAK CARI ?

Salam sayang teman-teman dan anak-anak semua......harap segala kegembiraan dan kesedihan yang mendatang dalam hidup dapat ditangani dengan fikiran dan akal yang waras. Ambil masa seminit dan bertenang....
Ramadan sudah hampir ke penghujung....di bulan yang barakah ini banyak perkara yang masih dapat dilakukan tanpa alasan. Sekarang sudah pasti semua sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari kemenangan...1 Syawal. Di semua pusat membeli belah, ibu bapa berasak-asak untuk membeli pakaian cantik buat anak-anak. Dalam masa yang makin menghampiri hari raya aku masih mencari......banyak Bazar Ramadan yang aku pergi tetapi masih belum jumpa....apa yang ada hanyalah yang tidak asli.Telah diubahsuai hingga tiada lagi keasliannya. Ku pujuk hati agar membeli saja, walaupun hati agak berat.......Aku bukan jenis putus asa.....mana lagi nak cari???
Kuih Tepung Pelita dan bukan Tako.....
Kuih lama dan mempunyai nostalgia tersendiri. Kuih kegemaran aku sejak dari kecil .Mungkin ramai yang suka kuih ini sama seperti aku....
Sedikit info mengenai kuih ini untuk dikongsi bersama.....


1.Tepung pelita sejenis kuih lembut dalam bekas daun pisang. Popular di Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

2.Kuih tepung pelita terdiri daripada dua lapisan yang bewarna hijau di bawah dan lapisan santan putih di atas, yang dikenali sebagai kepala. Sejenis kuih manis dan amat digemari di pantai timur.

3.Tepung Pelita is made from glutinous rice, sugar, coconut milk and added with 'pandan' flavor. It is wrapped creatively into small rectangular sort of small container made of banana leaf and steamed forabout 15 minutes. Tepung Pelita is famous during breakfast and afternoon as a dessert served with hot tea or coffee. For some people they love it served cold as a good refreshment pudding.

Adakah anak-anak sekarang masih menggemari kuih tradisional seperti ini. Apapun yang kita makan, harus tahu khasiat dan mudaratnya....

SEKADAR INGIN BERKONGSI....


“Brain Food” dapat merangsang pertumbuhan sel-sel otak, memperbaiki fungsinya, meningkatkan daya ingat dan daya tumpuan anak-anak. Makanan amat perlu untuk anak-anak terutama yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
1. Salmon
Ikan berlemak seperti salmon merupakan sumber terbaik omega-3 - DHA and EPA – yang keduanya penting bagi pertumbuhan dan perkembangan fungsi otak. Kajian menunjukkan bahawa orang yang mengambilnya dalam menu makanan memiliki fikiran lebih tajam dan mencatat hasil memuaskan dalam uji kemampuan.
2. Telur
Telur dikenal sebagai sumber penting protein yang relatif murah dan harganya amat berpatutan. Bahagian kuning telur ternyata padat akan kandungan kolin, suatu zat yang dapat membantu perkembangan memori atau daya ingat.
3. Kacang tanah
“Kacang tanah (peanut) merupakan salah satu sumber vitamin E. Vitamin ini merupakan antioksidan yang dapat melindungi membran-membran sel saraf. Bersama thiamin, vitamin E membantu otak dan sistem saraf dalam penggunaan glukosa untuk memberi tenaga.
4. Gandum
Otak memerlukan bekalan atau sediaan glukosa dari tubuh yang sifatnya konstan. Gandum memiliki kemampuan untuk memenuhi keperluan tersebut. Serat yang terkandung dalam gandum dapat membantu mengatur pelepasan glukosa dalam tubuh. Gandum juga mengandungi vitamin B yang berfungsi memelihara kesihatan sistem saraf.
5. Oat/Oatmeal
Oat merupakan salah satu jenis cereal paling popular di kalangan anak-anak dan kaya dengan zat penting bagi otak. Oat dapat menyediakan tenaga atau bahan bakar untuk otak yang sangat diperlukankan anak-anak di sepanjang pagi. Oat juga merupakan sumber vitamin E, vitamin B, potassium yang membuat tubuh dan fungsi otak berfungsi sepenuhnya.
6. Berry
Strawberry, cherry, blueberry dan blackberry. Secara umum, semakin gelap warnanya, semakin banyak zat yang di kandungnya. Berry mengandung antioksidan kadar tinggi, khususnya vitamin C, yang berfaedah mencegah kanser.
Kajian menunjukkan mereka yang mendapatkan ekstrak blueberry dan strawberry mengalami perbaikian dalam fungsi daya ingatnya. Biji dari buah berri ini juga ternyata kaya dengan omega-3.
7. Kacang-kacangan
Kacang adalah makanan istimewa sebab makanan ini memiliki tenaga yang berasal dari protein serta karbohidrat kompleks. Selain itu, kacang kaya akan kandungan serat, vitamin dan mineral. Kacang juga makanan yang baik untuk otak kerana mereka dapat mempertahankan tenaga dan kemampuan berfikir anak-anak.Kacang merah dan kacang cerdik mengandungi lebih banyak omega 3 daripada jenis kacang lainnya — khususnya ALA – jenis asal omega-3 yang penting bagi pertumbuhan dan fungsi otak .
8. Sayuran berwarna
Tomato, ubi keledek, labu, lobak, bayam adalah sayuran yang kaya dengan zat dan sumber antioksidan yang akan membuat sel-sel otak kuat dan sihat.
9. Susu dan Yogurt
Makanan yang berasal dari produk susu mengandung protein dan vitamin B tinggi. Dua jenis zat ini penting bagi pertumbuhan jaringan otak, neurotransmitter dan enzim. Susu dan yogurt juga boleh membuat perut kenyang kerana kandungan protein dan karbohidratnya sekaligus menjadi sumber tenaga bagi otak.
10. Daging
Zat besi adalah jenis mineral yang akan membantu anak-anak bertenaga dan memberi tumpuan di sekolah. Daging tanpa lemak adalah salah satu sumber makanan yang mengandungi banyak zat besi. Dengan hanya makan 1 auns sehari, maka tubuh kita akan dibantu dalam penyerapan zat besi. Daging juga mengandung mineral zink yang dapat membantu memelihara daya ingat.
Jadi di musim perayaan ini dan musim peperiksaan pula bakal menjelang....bila berhadapan dengan pelbagai juadah.....tepuk dada tanya selera.....
Imanmysara

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
There was an error in this gadget