Pages

Tuesday, September 21, 2010

RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI


Salam Syawal teman-teman dan anak-anak semua.....saya pasti semua masih dalam mood hari raya. Belum terlambat saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin sempena hari yang mulia ini.







Bulan Ramadan berlalu meninggalkan kita. Bulan Syawal yang dinanti berkunjung tiba. Di bulan Syawal, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, menandakan kita semua menyambut hari kemenangan . Kemenangan bagi semua yang taat serta berjaya dalam mengekang nafsu semasa menjalani ibadah puasa iaitu melaksanakan Rukun Islam yang ketiga.
Bila anak bulan Syawal kelihatan, pastinya hati kita merasa gembira. Tersenyum riang, bersama keluarga tercinta, girang bercerita semasa merebus ketupat, membakar lemang, memasak rendang, ziarah menziarahi saudara jauh dan dekat dan memenuhi undangan teman-teman ke rumah terbuka.
Rumah terbuka, telah menjadi satu ‘trend’ di zaman alaf baru ini. Hendak berkunjung ke rumah teman-teman tanpa undangan bimbang mereka tiada di rumah. Biasanya pada seminggu awal Syawal, masyarakat kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing. Oleh kerana itu kita tidak sempat menziarahi jiran dan kawan-kawan. Selepas selesai behari raya di kampung dan membawa pulang beberapa jenis juadah dari kampung biasanya akan adalah majlis rumah terbuka khusus untuk jiran dan kawan-kawan sekerja. Seperti kata-kata yang sering kita dengar kalau puasa 30 hari jadi Hari Raya juga dirayakan selama 30 hari di bulan Syawal ini. Saya juga mendapat banyak undangan ke majlis rumah terbuka . Saya akan berusaha untuk memenuhi semua undangan tersebut untuk menjaga hati teman-teman dan menghormati undangan tersebut. Berkunjung ke rumah terbuka adalah sesuatu yang baik kerana ia dapat mengeratkan silaturahim. Sebagai tuan rumah, kita akan lebih bersedia menyediakan juadah buat tetamu yang datang. Sebagai tetamu kita dapat menziarahi teman-teman dan bermaaf-maafan.
Pada tahun ini, saya tidak pasti lagi hendak mengadakan rumah terbuka atau tidak. Jemputlah berkunjung walaupun hati saya kurang enak bila hanya menghidangkan kuih kering kepada tetamu.Kekangan masa dengan tugasan yang banyak memerlukan saya merancang dengan lebih teliti. Namun buat teman-teman, insyaallah sekiranya tiada halangan akan adalah menu pantai timur seperti laksam,laksa lemak, nasi dagang dan tapai buat santapan kalian.
Saya pasti teman-teman juga sedang merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka atau mendapat banyak undangan ke rumah terbuka ? Sekiranya sedang merancang dan akan mengadakan majlis rumah terbuka ia adalah sesuatu yang baik, tetapi kita hendaklah sentiasa menjaga adab ketika berhadapan dengan orang ramai.

SEKADAR INGIN BERKONGSI

ADAB SEMASA BERKUNJUNG KE RUMAH TERBUKA


1.Hormati tuan rumah
Apabila sampai ke majlis rumah terbuka, hulurkan tangan kepada tuan rumah untuk bersalam, bersalam juga dengan tetamu yang berhampiran dengan kita ketika itu. Ikut arahan tuan rumah sekiranya tempat duduk telah disediakan andainya bebas duduk di mana sahaja,anda cuba cari rakan untuk berbual kosong sambil makan. Jaga suara ketika berbual jangan sampai mengganggu orang dengan suara kita yang kuat ketika berbual, ia tidak beradab dan kurang sopan. Bila bergurau senda biarlah berpada jangan sampai menyakiti hati orang lain. Jangan ketawa terlalu kuat dan jangan mencela apa yang ada di rumah terbuka yang kita kunjungi.

2.Sederhana dalam berpakaian dan berhias
Sudah menjadi kebiasaan di hari raya , semua orang memakai baju atau pakaian baru. Tidak terkecuali saya dan teman-teman, tetapi janganlah sampai menunjuk-nunjuk atau berasa riak iaitu dengan menunjuk-nunjuk apa yang baru, mahal atau murah, pakaian atau barang perhiasan yang dipakai. Seharusnya remaja terutama remaja wanita, pilihlah pakaian yang sesuai iaitu yang menutup aurat untuk menghormati majlis sempena Hari Raya serta juga untuk menjaga syariat .
Sekiranya perasaan megah terlalu menebal dalam diri maka rasanya ada yang tidak kena dengan puasa Ramadhan yang baru berlalu, sepatutnya puasa yang telah dilalui itu dapat melahirkan sifat-sifat mulia dalam diri contohnya sifat merendah diri, penyabar , pemurah, pemaaf dan menjauhi sifat dengki dan bermegah-megah. Tujuan rumah terbuka adalah untuk mengeratkan silatulrahim antara umat Islam, bersalaman serta bermaaf-maafan. Bukan mudah untuk menundukkan keegoan yang ada dalam diri setiap manusia, tapi cubalah lakukan kamu akan rasa ‘bebas’ dan bahagia. Allah tidak menyukai manusia yang sombong.
Firman Allah: “ Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata ( yang mengundang keselamatan)” (al-Furqan:63)
Sabda Rasulullah SAW: “ Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu lalu saling berjabat tangan , kecuali keduanya akan diampuni sebelum keduanya berpisah.” (HR at.Tirmizi dan Ibnu Majah)

3.Adab makan
Makanlah dengan sopan, tidak berebut-rebut atau gelojoh sehingga pinggan , cawan dan sudu berlaga-laga. Elakkan menyerbu makanan terlebih dahulu, walaupun ketika kita memang lapar . Tunggu tuan rumah pelawa, kemudian ambillah makanan dengan sopan dan jangan mengambil sehingga penuh pinggan. Memang makanan banyak dan menunya enak, kalau tidak habis makanan yang diambil bukankah ianya membazir dan mencalarkan imej kita. Sikap ini menunjukkan kita gelojoh, ambil sedikit-sedikit dengan cara ini kamu dapat merasa semua makanan dan ia kelihatan lebih sopan daripada mengambil makanan dengan banyak sekali gus.

4.Jaga pandangan
Jaga mata kita semasa berkunjung ke rumah terbuka. Janganlah kita asyik melihat ke sana kemari. Merenung tetamu yang hadir, melihat pakaian mereka dan yang paling tidak baik apabila kita mula mengata dan mengumpat individu yang hadir. Pandang apa yang perlu sahaja.

5.Jangan duduk terlalu lama.
Apabila berkunjung ke rumah terbuka janganlah duduk terlalu lama, lebih-lebih lagi sekiranya ramai lagi tetamu yang baru datang dan tempat duduk terhad. Hadkan masa tertentu jangan sampai terlajak masa iaitu hingga seharian kita di rumah tersebut. Sikap ini akan mengundang rasa tidak selesa tetamu lain dan tuan rumah juga berasa serba salah kerana tuan rumah juga mungkin sibuk untuk melayan tetamu lain.
Semasa hendak balik, mintalah izin dari tuan rumah serta ucapkan terima kasih atas layanan dan jemputannya serta undanglah dia untuk datang ke rumah anda pula. Sikap ini sebagai tanda menghormati tuan rumah dan di bulan Syawal ini ialah bulan kita bermaaf-maafan dan menjalinkan persaudaraan.Tanamkan sikap ikhlas semasa mengadakan rumah terbuka dan amalan ini akan diberi pahala oleh Allah. Insyaallah anda akan disenangi oleh jiran dan teman dan diredhai Allah.
Salam Syawal....
Imanmysara

2 comments:

  1. best jg kalau dapt gi rumah awak zam

    ReplyDelete
  2. Salam Ana B.....jemputlah datang...tapi call dulu ye sb sya nak masak untuk awk...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
There was an error in this gadget