Pages

Monday, July 23, 2012

Bijak Di Bulan Puasa!

Assalamualaikum dan salam sayang anak-anak dan teman-teman....Ibarat roda yang terus berputar, tak terasa debu dan batu yang  mengotori dan mencalarnya. Begitulah perjalanan hidup kita, berbagai kesalahan telah kita lakukan. Maka di bulan yang suci dan penuh rahmat ini mari kita maksimumkan ibadah kita.Sudah 4 hari kita berpuasa.....murid-murid tahun 6 akan menghadapi trial exam hari ini. Good luck cikgu kaunseling ucapkan.
Semoga keberkatan di bulan mulia ini sedikit sebanyak dapat membantu kalian untuk meraih kecemerlangan.Lupakan masalah sisi yang remeh....fokus untuk menjawab dengan jawapan terbaik.Sebenarnya kita lebih bijak di bulan puasa. Menurut Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, banyak manfaat yang boleh diperolehi di bulan puasa ini. Antaranya:-
1.Puasa memberikan kita lebih fokus.Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, melayari internet, bersembang kosong, melepak dan sebagainya. Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan mudah untuk fokus kepada pelajarannya. Biasanya, apabila bulan puasa tiba,anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar. Ini membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan mengulangkaji pelajaran. Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari.
2.Puasa memberikan kita lebih masa.
Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih awal. Malah waktu persekolahan (sesi petang) juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa. Tambahan pula pelajar tidak perlu bergegas ke kantin untuk makan waktu rehat. Ini memberikan lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji pelajarannya. Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya.

3.Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk.
Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang. Malah ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada diwaktu pagi. Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah malas dan mengantuk ini. Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi. Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat, segar dan bertenaga. 

4.Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal.
Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi. Oleh itu pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi. Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah menelaah pelajaran. Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih fokus. Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya untuk belajar dan beribadah.

5.Doa orang berpuasa dimakbulkan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir". Jelas di sini kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah. Oleh itu, pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah. Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji keluar dalam peperiksaan. Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.

6.Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar.
Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar. Inilah malan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman. Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan oleh Allah. Dengan izin Allah, maka pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan.


Indah bukan....Cikgu kaunseling pun banyak nak belajar di bulan Ramadan ni.Jom!kita sama-sama bijak di bulan Ramadan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails